Surah An-Nur
إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Innal-lażīna jā'ū bil-ifki ‘uṣbatum minkum, lā taḥsabūhu syarral lakum, bal huwa khairul lakum, likullimri'im minhum maktasaba minal-iṡm(i), wal-lażī tawallā kibrahū minhum lahū ‘ażābun ‘aẓīm(un).
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
📝 Nota Kaki
515) Berita dusta (kisah Al-Ifk) ini adalah mengenai 'Aisyah R.A., Ummul Mukminin, selepas peperangan dengan Bani Mustaliq pada bulan Syaaban tahun 5 H. Peperangan itu turut disertai oleh kaum munafik dan 'Aisyah R.A. juga ikut serta bersama Nabi SAW berdasarkan undian yang diadakan dalam kalangan isteri-isteri baginda. Dalam perjalanan pulang, mereka berhenti rehat di suatu tempat. 'Aisyah R.A. keluar dari sekedupnya untuk suatu keperluan, kemudian kembali. Tiba-tiba beliau menyedari kalungnya telah hilang, lalu beliau pergi mencarinya. Sementara itu, rombongan tersebut bertolak dengan sangkaan bahawa 'Aisyah R.A. masih berada di dalam sekedup. Selepas 'Aisyah R.A. mendapati rombongan sudah bertolak, beliau duduk di tempatnya dengan harapan rombongan itu akan berpatah balik untuk menjemputnya. Secara kebetulan, seorang sahabat Nabi bernama Safwan bin Mu'attal lalu di tempat tersebut dan menemui seseorang yang sedang tidur bersendirian. Safwan terkejut lalu mengucapkan, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un, isteri Rasulullah!” 'Aisyah R.A. terjaga. Lalu, Safwan mempersilakan 'Aisyah R.A. menaiki untanya. Safwan berjalan menuntun unta tersebut sehinggalah sampai ke Madinah. Orang-orang yang melihat mereka mula memperkatakannya mengikut pendapat masing-masing. Maka mulailah timbul desas-desus, yang kemudiannya diperbesar-besarkan oleh kaum munafik. Kesannya, fitnah terhadap 'Aisyah R.A. itu semakin menular sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan kaum muslimin.